|
IMPIAN KU LI KEMBALI KINI LENYAPBerita Harian Singapura DESAS-DESUS awal yang bertiup kencang tentang bakal kebangkitan kembali tokoh politik veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, dalam barisan kuasa parti itu kini ternyata seolah-olah lenyap. Tengku Razaleigh, 62 tahun, atau dikenali sebagai Ku Li, telah gagal melayakkan diri untuk menandingi salah satu jawatan kanan Umno dalam pemilihan parti itu bulan depan. Minggu lalu, beliau mulanya memperolehi 17 pencalonan untuk layak memenuhi syarat menandingi salah satu daripada tiga jawatan Naib Presiden parti. Malangnya, Majlis Tertinggi (MT) Umno menolak pencalonan oleh bahagian Gua Musang di Kelantan yang diketuai beliau. Presiden Umno, Datuk Seri Mahathir Mohamad, memberi alasan yang pencalonan Gua Musang tidak dibuat langsung oleh bahagian tersebut, tetapi sebaliknya dirujuk menerusi jawatankuasa. "Demi mencegah sebarang ulangan, MT tidak dapat menerima pencalonan yang dibuat oleh jawatankuasa bahagian Gua Musang," ujar Setiausaha Agung Umno, Tan Seri Khalil Yakob, yang juga Menteri Penerangan. Penolakan tersebut bermakna pencalonan Gua Musang bagi Tengku Razaleigh dan mereka yang lain, termasuk bagi jawatan presiden, tidak sah. Awal bulan lalu, MT Umno telah mengarahkan semua bahagian parti supaya menyiapkan senarai pencalonan lengkap bagi pemilihan parti bulan depan. Dalam perhimpunan agungnya pada 31 Mac lalu, bahagian Gua Musang mencalonkan Mahathir bagi jawatan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Abdullah Ahmad Badawi, selaku Timbalan Presiden. Tiada pencalonan dibuat bagi jawatan Naib Presiden yang diserahkan kepada jawatankuasa bahagian yang kemudian mencalonkan Ku Li -- memberi beliau satu-satunya pencalonan penting untuk layak bertanding. Mahathir menafikan kononnya keputusan MT menolak pencalonan Gua Musang berniat untuk menghalang Ku Li daripada bertanding. "Orang lain boleh sentiasa membuat tafsiran sendiri. Kita tidak dapat berbuat apa-apa," kata Mahathir. Kedudukan Mahathir, 75 tahun, selaku Presiden Umno, tidak dijangka tercabar, manakala Datuk Abdullah terjamin terpilih bagi jawatan Timbalan Presiden. Kedua-dua mereka mendapat pencalonan hampir tanpa tentangan setelah semua bahagian Umno selesai mengadakan perhimpunan masing-masing bulan lalu. Pemegang kedua-dua jawatan tertinggi parti itu secara tradisi menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Mahathir pernah menyuarakan bahawa itulah penggal kuasanya yang terakhir. Namun, beliau sejauh ini dilihat mungkin belum bersedia menarik diri. Pilihan raya umum Malaysia yang baru ditetapkan pada tahun 2004. Pemenang jawatan Naib Presiden Umno kali ini berpeluang menandingi jawatan Timbalan Presiden, atau malah, Presiden apabila Umno mengadakan pemilihan dalam tahun 2003. Ku Li telah menarik diri secara rasmi daripada menandingi kedua-dua jawatan tertinggi Umno. Anihnya, beliau tidak mengumumkan secara terbuka akan bertanding dan hanya membayangkan kesediaan berfikir dua kali andainya mendapat sokongan cukup di peringkat akar umbi. Selepas gagal menumbangkan Mahathir sewaktu pemilihan Umno dalam 1987, Ku Li berpecah dan menubuhkan Parti Semangat 46. Beliau dan penyokongnya kemudian diterima balik ke pangkuan Umno dalam 1996. Ketika mengulas keputusan MT Umno menolak pencalonannya oleh bahagian Gua Musang, Ku Li memaklumkan bahawa beliau akan menimbangkan sama ada membuat rayuan atau tidak. Bagaimanapun, beliau mempertikaikan kelayakan calon untuk menandingi jawatan parti yang katanya patut berdasarkan keupayaan dan kewibawaan, bukan mengikut jumlah pencalonan yang diperolehi. Kriteria lain termasuk calon berkenaan mestilah bersih daripada rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai bentuk skandal yang boleh memalukan Umno, bangsa Melayu serta negara. Beliau menganggap 'syarat baru' yang menetapkan calon bagi jawatan Umno memperolehi jumlah pencalonan tertentu daripada bahagian parti. Dengan pencalonan penting Ku Li tidak diperakui atas sebab teknikal, Mahathir dipercayai cuba menyekat bekas musuh politiknya itu untuk menguasai kembali kepimpinan Umno. Kedua-dua tokoh pernah bertarung sengit 13 tahun lalu bagi jawatan Presiden yang menyaksikan Ku Li kalah tipis dengan cuma tiga undi. Awal tahun ini, Ku Li disebut-sebut berhasrat mencabar kedudukan Mahathir menyusuli langkah kontroversi MT Umno untuk melarang pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden "demi memelihara perpaduan parti". Mahathir telah memegang jawatan tertinggi Umno dan kerajaan selama 19 tahun. Namun, sokongannya di kalangan pengundi Melayu, yang sekian lama menjadi teras kuasa Umno, mula menjunam angkara layanan buruk beliau terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Datuk Seri Anwar, 55 tahun, kini di penjara enam tahun atas kesalahan rasuah dan dibicarakan lagi bersabit tuduhan 'fitnah' liwat. Beliau telah menafikan semua tuduhan dan sebaliknya mendakwa menjadi mangsa "konsfirasi peringkat tinggi" untuk menyingkirnya dari arena politik Malaysia. Dalam salah satu tamparan terhadap Mahathir, sebuah lagi bahagian Umno di Kelantan mencalonkan Ku Li untuk menandingi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden. Bagaimana pun, tindakan tersebut kurang berkesan kerana Mahathir telah mendapat banyak pencalonan bagi jawatan Presiden dan Datuk Abdullah pula bagi jawatan Timbalan Presiden -- meninggalkan Ku Li tercicir jauh. |